Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-233

13 June 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-233

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 27 Zulhijjah 1447 bersamaan 13 Jun 2026Kejayaan Hijrah bukan suatu kebetulan, tetapi hasil perancangan yang rapi melalui pengurusan bakat yang luar biasa. Peristiwa agung ini memberi inspirasi dan pelan tindakan yang sangat relevan dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Belia bukan sekadar pemegang kunci masa depan, tetapi enjin penggerak hari ini. Sudah tiba masanya generasi muda berhijrah daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta solusi demi kemajuan negara. Manakala wanita adalah arkitek utama di sebalik tabir kejayaan. Kisah Sayyidatina Asma' binti Abu Bakar R.A. mengajar pentingnya kreativiti, ketangkasan dan kebolehan menyelesaikan masalah dalam menghadapi cabaran semasa. Negara memerlukan lebih ramai individu yang profesional, amanah dan berkemahiran tinggi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Semangat Hijrah: Inspirasi Menuju Wawasan Brunei 2035 yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Za'aim bin Haji Bagol, Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Belait, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-233 pada malam tadi.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah Masjid Kampung Belais, Temburong serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Afnan bin Haji Gapor, Pemangku Penghulu Mukim Zon 2 Daerah Temburong, Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda, Daerah Temburong yang bersiaran dari Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Mukarram bin Madeli, Belia Masjid Kampung Belais. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Safwan bin Zolkipli, Imam Tingkat IV, Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Aziz bin Haji Hamzah, Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Bokok, Temburong, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Saiful Bahrin bin Haji Yunos, Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​