Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 26 Zulhijjah 1447 bersamaan 13 Jun 2026–Masyarakat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan Awal Tahun 1448 Hijrah. Di Negara Brunei Darussalam, yang majoriti penduduknya berugama Islam, seperti lazimnya akan menyambut ketibaan awal tahun baru Hijrah secara besar-besaran bagi mengembangkan dan menyebarkan lagi syiar Islam di negara ini, di samping menyemarakkan sambutan Ilal Hijrah 1448 bagi memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah.
Pada tahun ini, Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Awal Tahun Hijrah 1448 Peringkat Negara akan diadakan pada hari Selasa Malam Rabu, 01 Muharram 1448 Hijrah bersamaan 16 Jun 2026 Masihi di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh Negara mulai pukul 5.00 petang dengan tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.
Antara pengisian utama acara ialah bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah.
Bagi memastikan kelancaran majlis sambutan itu nanti, raptai penuh bagi Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 diadakan pagi tadi bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir bagi menyaksikan raptai pagi tadi ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Kementerian Kewangan; dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Majlis dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Baiduri Bank Sdn Bhd.
Tema bagi Majlis Tahun ini ialah Hijrah Penyelamat Aqidah.
Datanglah beramai-ramai ke Majlis itu nanti, semoga mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala jua. Aamin.
SALAM ILAL HIJRAH
Foto: PDI