Bandar Seri Begawan, Khamis, 02 Muharram 1448 bersamaan 18 Jun 2026–Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar Ali Saifuddien telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Belajar Ilmu Tajwid Bersama Al-Quran dan Bengkel Pemahaman Ilmu Tajwid Al-Quran 2026 sempena Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1448. Acara diadakan di masjid berkenaan.
Bengkel yang bertemakan Bacaan Betul, Hati Tenang ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran masyarakat dalam membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul. Selain itu, program ini turut bertujuan memupuk minat berterusan dalam pembelajaran Al-Quran serta menggalakkan pengamalan bacaan yang tepat dalam kehidupan seharian.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan buku “Belajar Ilmu Tajwid Bersama Al-Quran" ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sementara bengkel tersebut akan dikendalikan oleh Yang Mulia Awang Haji Md Daud bin Haji Abd Kadir.
Bengkel yang disertai dari kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah Masjid dan orang ramai ini akan diberikan pendedahan kepada asas-asas ilmu tajwid serta meningkatkan keyakinan peserta dalam membaca Al-Quran secara bertalaqqi dan berlandaskan hukum tajwid yang sahih.
Penganjuran program ini juga selaras dengan usaha mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir serta melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran. Di samping itu, ia berperanan menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah dan ilmu serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.