Bandar Seri Begawan, Khamis, 02 Muharram 1448 bersamaan 18 Jun 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam mengendalikan Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-Anak Damit yang Lahir pada 01 Muharram Sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448 pada pagi tadi bertempat di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu-Tetamu Khas majlis ini ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Datin; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sendirian Berhad dan Pengiran Datin.
Pemberian hadiah sumbangan Kementerian Hal Ehwal Ugama disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan isteri, Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee.
Manakala Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan isteri, Yang Mulia Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa Akaun Si Manja BND$200.00 Dolar dan 'Hamper' keperluan anak damit bernilai BND$60.00 Dolar.
Seterusnya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sendirian Berhad dan isteri, Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli juga menyempurnakan pemberian hadiah berupa Baucher bernilai BND$300.00 Dolar bagi penyertaan TBK Nur Savings dan barang keperluan anak damit.
Hadiah-hadiah anak damit yang lahir pada 01 Muharram 1448 Hijrah adalah berupa Hadiah barangan anak damit bernilai Dua Ratus Dolar Brunei ($200.00) dan Buku Ugama sumbangan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama; Akaun Si Manja Dua Ratus Dolar Brunei ($200.00) dan Hamper keperluan anak damit bernilai Enam Puluh Dolar Brunei ($60.00) daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); dan Baucer Tiga Ratus Dolar Brunei ($300.00) bagi penyertaan TBK Nur Savings serta barang keperluaan anak damit.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahdon bin Awang Damit, Imam Tingkat II, Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pada tahun ini seramai sebelas (11) orang anak damit iaitu tujuh (7) orang anak damit lelaki dan empat (4) orang anak damit perempuan telah dilahirkan bagi Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448 iaitu anak damit yang lahir bermula masuk waktu Maghrib 01 Muharram hingga berakhirnya waktu Asar, 02 Muharram 1448 Hijrah.
Anak damit pertama yang dilahirkan pada 01 Muharram 1448 Hijrah ialah pada pukul 6.55 petang, seorang anak damit lelaki seberat 2.620 kilogram dari Daerah Brunei dan Muara. Anak damit tersebut merupakan anak kepada pasangan Dayang Nurol Faezatul Aqillah binti Awang Mohammad Ali, dan Awang Mohammad Jeratailah bin Jukin.
Kelahiran anak-anak damit pada Sambutan Ilal Hijrah ini diraikan dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam memperingati kedatangan hari yang baik dan bersejarah dalam Islam. Ianya juga menjadikan taqwim hijrah terus mendapat tempat penggunaannya dari masa ke semasa.
Foto: PDI, JPI dan BPAAM