Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PEMBERIAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA  01 MUHARRAM 1448 HIJRAH SEMPENA SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1448 BAGI DAERAH BELAIT

18 June 2026

MAJLIS PEMBERIAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA 01 MUHARRAM 1448 HIJRAH SEMPENA SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1448 BAGI DAERAH BELAIT

Belait, Khamis, 02 Muharram 1448 bersamaan 18 Jun 2026Bagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas kelahiran anak damit pada hari yang baik dan bersejarah sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448, Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-Anak Damit yang lahir pada 1 Muharram 1448 Hijrah telah diadakan di Dewan Kuliah Blok R, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Daerah Belait pada pagi tadi.

Hadir selaku Tetamu Khas di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri.

Di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Daerah Belait mencatatkan kelahiran seorang anak damit perempuan seberat 2.825 kilogram pada 1 Muharram 1448 Hijrah, pukul 10.54 malam. Anak damit tersebut adalah anak kepada pasangan Dayang Siti Nuramalina Maisarah binti Saidi dan Awang Khairul Azhar Amirurahim bin Nasi.

Hadiah kepada anak damit yang lahir pada 1 Muharam 1448 Hijrah ini telah disampaikan oleh Tetamu Khas Majlis.

Hadiah-hadiah untuk anak damit yang lahir pada 01 Muharram 1448 Hijrah berupa Hadiah barangan anak damit bernilai Dua Ratus Dolar Brunei ($200.00) dan Buku Ugama sumbangan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama; Akaun Si Manja Dua Ratus Dolar Brunei ($200.00) dan Hamper keperluan anak damit bernilai Enam Puluh Dolar Brunei ($60.00) daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); dan Baucer Tiga Ratus Dolar Brunei ($300.00) bagi penyertaan TBK Nur Savings serta barang keperluaan anak damit.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Yang Mulia Awang Abdul Azim bin Haji Abdul Adzid @ Haji Abdul Majid, Imam Tingkat III, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait.  Seterusnya, penyampaian hadiah kepada anak damit yang lahir pada 1 Muharram 1448 Hijrah disempurnakan oleh Tetamu Khas, diiringi dengan Dikir Marhaban daripada warga Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

 

Foto: PHEU Daerah Belait