Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN  BERUMUR 40–54 TAHUN DAN 55 TAHUN KE ATAS SEMPENA  SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH 1448H

25 June 2026

MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN BERUMUR 40–54 TAHUN DAN 55 TAHUN KE ATAS SEMPENA SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH 1448H

Belait, Khamis, 09 Muharram 1448 bersamaan 25 Jun 2026–Dalam usaha mencungkil bakat serta meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran, khususnya dalam kalangan peserta dari masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohamed Jamalul Alam, Kuala Belait dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, telah mengadakan Musabaqah Membaca Al-Quran bagi Lelaki dan Perempuan Berumur 40 hingga 54 Tahun serta 55 Tahun Ke Atas bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara Tahun 1448H.

Musabaqah yang memasuki penganjuran kali kelapan ini berlangsung selama tiga hari, bermula dari 23 hingga 25 Jun 2026, bertempat di Masjid Mohamed Jamalul Alam, Kuala Belait. Penganjuran musabaqah ini adalah bersempena dengan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1448H. Pertandingan tersebut menghimpunkan peserta lelaki dan perempuan dari seluruh negara yang mewakili masjid, surau dan balai ibadat masing-masing dalam dua kategori, iaitu Kategori A bagi peserta berumur 40 hingga 54 tahun dan Kategori B bagi peserta berumur 55 tahun ke atas.

Selain itu, musabaqah ini turut diadakan bagi mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir serta melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran.

Sehubungan dengan itu, pada pagi ini telah diadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Diharapkan penganjuran pertandingan seumpama ini akan terus melahirkan peserta yang mahir dan berketerampilan dalam pembacaan Al-Quran, seterusnya dapat diketengahkan kepada masyarakat sebagai contoh dan teladan yang baik. Di samping itu, usaha ini juga diharap dapat membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian serta menyemarakkan lagi syiar Islam di negara ini.​