Negara Brunei Darussalam, Khamis, 09 Muharram 1448 bersamaan 25 Jun 2026–Dalam usaha melahirkan generasi celik Al-Quran serta membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian ke arah merealisasikan hasrat Negara Zikir, beberapa buah sekolah ugama telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah Berakas (sesi pagi) telah diadakan di dewan sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 41 orang murid yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Khairil Bahriah binti Pengiran Haji Mohd Ali, Pemangku Pengarah, Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Beliau turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim dibawakan oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam Al-Quran serta persembahan dikir. Acara kemudian disusuli dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sementara itu, Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI Sekolah Ugama Madang telah diadakan di Dewan Sekolah Ugama Lambak Kanan bagi meraikan seramai 23 orang pelajar yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini, Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah serta menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta.
Pada masa yang sama, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Mentiri turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Pusat Pembangunan Belia, Jalan Utama Tanah Jambu.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Suherdy bin Serbini, Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang diraikan.
Penganjuran majlis-majlis seumpama ini diharap dapat menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid serta mendorong mereka untuk terus menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan pegangan sepanjang hayat. Di samping itu, majlis ini turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan syiar Islam dan melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta berpegang teguh kepada ajaran Islam di Negara Brunei Darussalam.
Foto: JPI