Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP KURSUS SKIM KEFAHAMAN AL-QURAN TAHUN 1448H/2026M

25 June 2026

MAJLIS PENUTUP KURSUS SKIM KEFAHAMAN AL-QURAN TAHUN 1448H/2026M

Katok, Khamis, 09 Muharram 1448 bersamaan 25 Jun 2026–Bagi mewujudkan masyarakat yang menghayati Al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan serta peraturan hidup, di samping melahirkan generasi yang benar-benar memahami Al-Quran sebagai pemangkin pembangunan masyarakat dari aspek fizikal dan spiritual, serta memartabatkan kedudukan Al-Quran sebagai sumber utama perundangan Islam, pelbagai usaha terus dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran umat Islam untuk memahami kandungan Al-Quran dalam pelbagai aspek kehidupan.

Selaras dengan aspirasi Negara Zikir dan usaha melahirkan rakyat yang celik Al-Quran, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS telah menganjurkan Kursus Skim Kefahaman Al-Quran Tahun 1448H/2026M selama empat hari berturut-turut, bermula pada hari Isnin, 22 Jun 2026 dan berakhir pada petang tadi. Kursus tersebut telah diadakan di Bilik Gallery, Sekolah Menengah Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.

Sehubungan itu, Majlis Penutup Kursus Skim Kefahaman Al-Quran Tahun 1448H/2026M telah diadakan pada petang tadi di Bilik Gallery, Sekolah Menengah Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman, Pemangku Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Hanif bin Haji Salim, Imam Tingkat II, Masjid Kampung Beribi. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, Pemangku Pengarah, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.. Seterusnya, acara diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para fasilitator dan peserta kursus yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Seramai 50 orang peserta telah mengikuti Kursus Skim Kefahaman Al-Quran Tahun 1448H/2026M yang terdiri daripada penceramah tempatan dan belia da'ie dari Pusat Da'wah Islamiah, Guru-guru sekolah Arab dan Ugama dari Jabatan Pengajian Islam dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta pegawai dan guru ugama dari Bahagian Da'wah, Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Fasilitator kursus ialah Yang Mulia Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya, Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, manakala moderator kursus ialah Yang Mulia Dayang Zannatul Mardhiah binti Awang Sulaiman, Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kursus ini diharap akan menjadi platform yang berkesan dalam memperkukuh penghayatan Al-Quran dalam kalangan belia serta menyemarakkan lagi usaha dakwah di Negara Brunei Darussalam.

 

Foto: BPAAM​