Bandar Seri Begawan, Jumaat, 10 Muharram 1448 bersamaan 26 Jun 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam dan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS telah melakar sejarah dengan memperkenalkan wadah pendidikan awal dalam bidang tilawah Al-Quran yang dikenali sebagai Skim Tilawah Al-Quran Kanak-kanak (STAKA) bermula awal tahun ini.
Antara matlamat STAKA diwujudkan adalah bagi memberikan latihan dan bimbingan awal kepada pelajar-pelajarnya berkaitan ilmu tilawah Al-Quran, dikir dan tausyeh, di samping memupuk minat kecintaan berkenaan terhadap Al-Quran sejak usia kanak-kanak, sekali gus mencungkil dan melahirkan bakat-bakat berpotensi sebagai pelapis qari dan qariah negara pada masa hadapan.
Seramai 125 orang pelajar yang terdiri daripada 42 orang kanak-kanak lelaki dan 83 orang kanak-kanak perempuan telah menyertai Skim Tilawah Al-Quran yang julung-julung kalinya dibukakan ini.
Sehubungan dengan itu, Majlis Doa Kesyukuran Sempena Penubuhan Skim Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak (STAKA) telah diadakan pagi tadi bertempat di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Bandar Seri Begawan.
Majlis diserikan dengan kehadiran, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ke acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama lainnya.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar-pelajar Skim Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak, diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Bersama Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara turut diisikan dengan tayangan video, penyampaian sijil kepada tenaga pengajar STAKA, bacaan Doa Kesyukuran, dan lawatan tinjauan pengajaran dan pembelajaran Skim Tilawah Al-Quran di kelas-kelas.
Skim Tilawah Al-Quran Kanak-kanak (STAKA) merupakan inisiatif Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi melahirkan lebih ramai pelapis qari dan qariah di negara ini.