Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP SIMPOSIUM PENDIDIKAN TAHFIZ AL-QURAN DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KEDUA TAHUN 2026M INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

30 June 2026

MAJLIS PENUTUP SIMPOSIUM PENDIDIKAN TAHFIZ AL-QURAN DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KEDUA TAHUN 2026M INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Bandar Seri Begawan, Selasa, 14 Muharram 1448 bersamaan 30 Jun 2026–Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam Kali Kedua Tahun 2026M melabuhkan tirainya pada petang tadi di Majlis Penutup yang menghimpunkan para peserta, ahli akademik, pensyarah, ahli jawatankuasa kerja, siswa-siswi serta pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, bersama Tetamu Kehormat dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan tahfiz di Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Dr Sheikh Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud, Pensyarah Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Antara pengisian utama majlis ialah pembentangan Rumusan Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Dayang Hajah Norasbee binti Haji Mohd Ali, Setiausaha Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam Kali Kedua.

Rumusan tersebut merangkum dapatan, cadangan serta hala tuju strategik hasil daripada sesi pembentangan dan perbincangan sepanjang simposium berlangsung. Ia diharap menjadi rujukan penting dalam memperkasakan sistem pendidikan tahfiz negara agar terus relevan, berkualiti dan memenuhi keperluan semasa.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta Sesi Selari sebagai penghargaan atas sumbangan idea, penyelidikan serta perkongsian kepakaran yang telah menjayakan simposium ini.

Penganjuran Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam Kali Kedua mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan Al-Quran serta melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara, selaras dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.​