Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: SEKOLAH ARAB BELAIT  BAGI TAHUN 1448H / 2026M

02 July 2026

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: SEKOLAH ARAB BELAIT BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Mumong, Khamis, 16 Muharram 1448 bersamaan 02 Julai 2026–Bagi memupuk minat serta meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan budaya bertutur dalam Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Sekolah Arab Belait pada pagi tadi telah menganjurkan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) yang bertemakan "Mencintai Sultan Sebahagian daripada Mencintai Negara". Program tersebut diadakan di Sekolah Arab Belait.

Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, Penghulu Mukim Kuala Belait, Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Masniah binti Pengiran Hussin, Guru Besar Sekolah Arab Belait. Seterusnya, Tetamu Khas menyempurnakan perasmian program.

Antara pengisian program ialah persembahan puisi dalam tiga Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, pelancaran Buku Digital Dalili: Mursyid Al-Af'al Az-Zakiyyah, serta lawatan ke petak-petak permainan interaktif yang mengetengahkan pelbagai elemen kenegaraan, antaranya sejarah Kesultanan Brunei, makanan tradisi, alat muzik tradisional serta Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Program Hayya Ilal 'Arabiyyah merupakan antara inisiatif Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah Arab sempena Sambutan Bulan Bahasa Arab. Program ini bertujuan memperkukuh penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar menerusi pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan. Di samping itu, ia turut menjadi platform praktikal bagi pelajar mengaplikasikan penggunaan Bahasa Arab dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut secara aktif.

Penganjuran program ini turut menyokong usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja fasih berbahasa Arab, malah memiliki semangat patriotisme yang tinggi serta menghargai sejarah, budaya dan identiti Negara Brunei Darussalam.​