Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI  SEKOLAH UGAMA LAMBAK JALAN BEDIL (SESI PAGI DAN PETANG)  BAGI TAHUN 1448H / 2026M

03 July 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA LAMBAK JALAN BEDIL (SESI PAGI DAN PETANG) BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Berakas, Khamis, 16 Muharram 1448 bersamaan 02 Julai 2026-Dalam usaha memperkukuhkan pembelajaran serta penghayatan Al-Quran dalam kalangan murid, Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 84 orang murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Peserta khatam terdiri daripada 49 orang murid lelaki dan 35 orang murid perempuan, melibatkan gabungan murid sesi pagi dan sesi petang. Majlis tersebut diadakan di dewan sekolah berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Hazri bin Haji Kifle, Naib Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim oleh murid-murid Darjah IV dan V. Seterusnya, Doa Khatam dibacakan oleh Awangku Yura Aariz Baasith bin Pengiran Haji Yura Adisatria, disusuli dengan persembahan dikir.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil dan upacara merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, diiringi persembahan Dikir Marhaban. Upacara tersebut turut disertai oleh ibu bapa dan penjaga para peserta khatam.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Suhnoromardi bin Haji Suhaimi, Tenaga Pengajar.

Penganjuran majlis ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi Al-Quran yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia melalui penguasaan serta penghayatan Al-Quran. Di samping itu, majlis ini turut mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.​