Rimba, Khamis, 23 Muharram 1448 bersamaan 09 Julai 2026–Majlis Khatam Al-Quran merupakan antara program tahunan yang signifikan di sekolah-sekolah ugama sebagai tanda penghargaan terhadap murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, celik Al-Quran dan berakhlak mulia.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Rimba (BSM) pada petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 115 orang peserta khatam yang terdiri daripada 50 orang murid lelaki dan 65 orang murid perempuan. Majlis tersebut diadakan di Dewan Sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Md. Amin bin Haji Tengah, Ketua
Bahagian Kewangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Ali Nazri Hidayatullah bin Ahmad.
Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, yang turut diiringi dengan persembahan Dikir Asyraqal. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Sahril Sah bin Pengiran Bakar, Tenaga Pengajar.
Majlis tersebut turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah
dengan ibu bapa dan penjaga, di samping mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pendidikan ugama serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.