Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGANUGERAHAN BELIA IMPACT DAN  MAJLIS PELANTIKAN BELIA MASJID

10 July 2026

MAJLIS PENGANUGERAHAN BELIA IMPACT DAN MAJLIS PELANTIKAN BELIA MASJID

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 24 Muharram 1448 bersamaan 10 Julai 2026–Majlis Penganugerahan dan Pelantikan Belia Masjid sempena Program Pemantapan Bersiri bagi Belia dan Beliawanis Masjid Baharu (IMPACT 2026) menjadi kemuncak penganjuran program yang dihasratkan untuk melahirkan generasi belia dan beliawanis masjid yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya kepimpinan serta komited dalam mengimarahkan institusi masjid di Negara ini.

Majlis petang tadi diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Program anjuran Kumpulan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara itu membawa tema IMPACT (Inspiring Masjid Youth with Purpose, Action and Character Training), yang memberi penekanan kepada pembangunan belia secara menyeluruh melalui pemantapan matlamat hidup, pembentukan tindakan yang berimpak serta pengukuhan sahsiah dan jati diri berteraskan nilai-nilai Islam. Pendekatan tersebut diharap dapat melahirkan belia masjid yang berprinsip, berdaya tahan serta mampu menjadi pemangkin perubahan positif kepada institusi masjid, masyarakat dan negara.

Majlis turut menyaksikan pelantikan para peserta IMPACT 2026 bersama alumni Program Serasehan Belia Masjid 2024 sebagai Ahli Belia Masjid. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan kesediaan mereka untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pembangunan belia serta menggerakkan pelbagai inisiatif pengimarahan masjid di seluruh negara.

Sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan peserta sepanjang program, beberapa anugerah khas turut disampaikan, antaranya Anugerah Sinergi Cemerlang, Anugerah Khidmat Ummah Terbaik, Anugerah Sahsiah Mithali, Anugerah Pemimpin Inspirasi, Anugerah Ikon IMPACT dan Anugerah Inovasi dan Impak Sosial. Selain itu, semua peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen dan penglibatan mereka.

Penganjuran IMPACT 2026 bertujuan mengiktiraf sumbangan belia yang aktif dalam kegiatan masjid, di samping memperkukuhkan nilai kepimpinan, kesukarelawanan, kerja berpasukan dan khidmat masyarakat. Program ini juga menjadi wadah untuk menggalakkan lebih ramai belia mendekati masjid, mengimarahkannya melalui pelbagai aktiviti bermanfaat serta memperkukuh jaringan ukhuwah dalam kalangan belia masjid di seluruh Negara Brunei Darussalam.

Diharapkan IMPACT 2026 akan terus menjadi platform pembangunan belia yang berterusan dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak, berintegriti, berwibawa dan berjiwa khidmat, seterusnya mampu menyumbang tenaga, kepakaran dan kepimpinan ke arah pembangunan agama, bangsa dan negara.​