Kiulap, Jumaat, 24 Muharam 1448 bersamaan 10 Julai 2026–Sejak awal Januari hingga 8 Julai 2026, seramai 153 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 74 orang adalah saudara baharu di Daerah Brunei dan Muara.
Pada majlis pengislaman yang diadakan pada pagi tadi, seorang wanita berbangsa Cina bersama anak lelakinya telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah.
Majlis pengislaman tersebut diadakan di kediaman Awang Haji Hadi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud di Kampung Kiulap, Bandar Seri Begawan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Dayang Limg Bitt Jiun bersama anak lelakinya di hadapan pegawai daripada Bahagian Pengembangan Da'wah (Pengislaman), Pusat Da'wah Islamiah. Beliau memilih nama Islam, Aliyah Amani Limg Bitt Jiun binti Abdullah, manakala anak beliau memilih nama Muhammad Rizqi Aaron Limg Huan Yang bin Abdullah. Majlis kemudian diteruskan dengan Dikir Marhaban, diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.