Berakas, Sabtu, 03 Safar 1448 bersamaan 18 Julai 2026 - Majlis Khatam Al-Quran merupakan antara program tahunan yang signifikan di sekolah-sekolah ugama sebagai tanda penghargaan terhadap murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, celik Al-Quran dan berakhlak mulia.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Pantai Berakas telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 22 orang peserta khatam yang terdiri daripada 15 orang murid lelaki dan 07 orang murid perempuan. Majlis tersebut diadakan di Dewan Anak Wira sekolah berkenaan pada petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Norliyani binti Haji Ahmad, Ketua Unit Maklumat, Perangkaan dan Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammad Sahqyil Rizwan bin Riduan. Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, yang turut diiringi dengan persembahan Dikir Asyraqal sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Abd Aziz bin Haji Mohammad, Tenaga Pengajar.
Majlis tersebut turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga, di samping mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pendidikan ugama serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.