Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-238 (KHAS UNTUK WANITA KE-37)

18 July 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-238 (KHAS UNTUK WANITA KE-37)

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 04 Safar 1448 bersamaan 18 Julai 2026–Dalam Islam, kepimpinan mempunyai kedudukan yang sangat penting. Manusia memerlukan pemimpin untuk menyatukan masyarakat, menentukan hala tuju, menegakkan keadilan dan memelihara kemaslahatan bersama. Kepimpinan ialah amanah besar yang akan dipersoalkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Oleh itu, pemimpin yang amanah akan berusaha memelihara agama, menegakkan keadilan, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan keamanan negara terus berkekalan. Kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan memberikan banyak inspirasi kepada kita, antaranya ialah keutamaan yang diberikan kepada agama, pendidikan, kebajikan rakyat dan perpaduan. Agama membentuk masyarakat yang berakhlak, amanah dan bertanggungjawab, pendidikan melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan, kebajikan rakyat memastikan golongan yang memerlukan tidak dipinggirkan, manakala perpaduan menjadi benteng yang memelihara keamanan negara. Kepimpinan yang amanah, hubungan erat antara raja dan rakyat serta sokongan rakyat yang berpegang kepada iman, akhlak dan perpaduan akan melahirkan sebuah negara yang aman, makmur dan diberkati Allah Subhanahu Wa Ta'ala, menepati cita-cita “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Berkat Kepimpinan, Makmur Negara yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abd Rahman, Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), selaku Pembimbing Bersama Belia Masjid Senegara bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-37 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-238 pada malam tadi dari Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para Belia Masjid Senegara; muslimah dan jemaah Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong serta beberapa lagi masjid di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Isisah binti Haji Sulaiman, Ketua Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong.

Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nur Diyana binti Dato Paduka Haji Md Yussop, Ahli Jawatankuasa Unit Pembangunan Kepimpinan dan Keahlian, Beliawanis Masjid Senegara. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Atikah binti Abd Khalid, Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Siti Nurnadiatul Syahirah binti Mohammad Sumadi, Ketua Beliawanis Syababul Iman, Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Zarina binti Dato Haji Abu Zar, Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.  Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.