Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH SEKOLAH ARAB SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH BAGI TAHUN 1448H / 2026M

23 July 2026

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH SEKOLAH ARAB SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Rimba, Khamis, 08 Safar 1448 bersamaan 23 Julai 2026–Bagi meningkatkan kemahiran serta mengukuhkan budaya bertutur Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada pagi tadi telah mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertempat di auditorium sekolah berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Pemangku Rektor, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Lagu Rasmi Sekolah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Khas Sekolah sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pengisian utama program yang bertemakan Cintai Sultan dan Hayati Seruan dengan Bahasa Al-Quran ialah pembentangan lima kertas kerja oleh para pelajar yang membincangkan penggunaan Bahasa Arab serta cabaran dalam penguasaannya dalam kalangan pelajar.

Majlis turut diserikan dengan pengumuman pembentang terbaik, penyampaian hadiah kepada para pemenang, serta lawatan ke ruang pameran.

Program Hayya Ilal 'Arabiyyah merupakan antara inisiatif Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah Arab sempena sambutan Bulan Bahasa Arab. Penganjuran program kali ini menjadi wadah untuk memperkasa penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar melalui komunikasi akademik menerusi pembentangan kertas kerja. Selain memberi pendedahan kepada pelajar dalam menyampaikan idea dan hujah secara ilmiah di hadapan khalayak, program ini turut membina keyakinan diri, mengasah kemahiran berfikir secara kritis serta menggalakkan penggunaan Bahasa Arab dalam pelbagai situasi komunikasi.​