Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

24 July 2026

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 09 Safar 1448 bersamaan 24 Julai 2026–Ketaatan kepada pemerintah, selagi tidak bercanggah dengan syariat, merupakan tuntutan Islam yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah serta menjadi asas kepada keamanan, perpaduan dan kestabilan negara. Justeru, menjunjung raja dizahirkan melalui penghormatan terhadap institusi kepimpinan yang menjadi pemangkin kepada kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara.  Oleh itu, setiap rakyat diseru agar menyumbang kepada kemajuan negara melalui ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, kepatuhan terhadap undang-undang yang selaras dengan syariat, pemeliharaan perpaduan, serta pengamalan nilai integriti dan takwa dalam kehidupan seharian.

Perkara tersebut antara perkara yang disampaikan melalui Tazkirah Subuh bertajuk Mentaati Ulil Amri yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan Bin Mohd. Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Bahagian Penyebaran Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan. 

Di samping membentuk masyarakat yang berdisiplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.​