Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PRODUK MAKANAN KIMCHI BASE SAUCE DAN GHOCUJANG RED PEPPER PASTE (KOREANISCHE CHILIPASTE) 170 GRAM JENAMA DELIEF

05 August 2026

PRODUK MAKANAN KIMCHI BASE SAUCE DAN GHOCUJANG RED PEPPER PASTE (KOREANISCHE CHILIPASTE) 170 GRAM JENAMA DELIEF

Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syar'iah ingin memaklumkan bahawa dua aduan telah diterima oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal iaitu mengenai produk makanan Kimchi Base Sauce jenama Delief keluaran Samjinfoods Inc (27856) 737-8 Ideok-ro, Deoksan-eup, Jincheon-gun, Chungcheongbuk-do, Republic of Korea dan Ghocujang Red Pepper Paste (Koreanische Chilipaste) 170 gram juga jenama Delief keluaran Sajo Industries Co., LTD., beralamat Sajo Industries Co., LTD., 732, Nodong-ri, inkye-myun, Sunchang-gun, Jeollabuk-do, Korea yang dijual di negara ini yang diragui kehalalannya.

Hasil pemeriksaan, Jabatan ini mendapati bahawa produk makanan Kimchi Base Sauce dan Ghocujang Red Pepper Paste (Koreanische Chilipaste) 170 gram jenama Delief ini mengandungi bahan ramuan 'alcohol' yang tidak diketahui sumbernya. Kedua-dua produk tersebut juga tidak ada pengiktirafan halal daripada mana-mana badan pensijilan halal.

Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di Negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah ingin menegaskan kepada pemilik mana-mana pasar raya, kedai runcit dan lain-lain premis perniagaan di Negara Brunei Darussalam yang menjual produk makanan Kimchi Base Sauce dan Ghocujang Red Pepper Paste (Koreanische Chilipaste) 170 gram jenama Delief untuk segera diasingkan dan dijual di ruangan yang tidak terdedah kepada orang awam di premis-premis mereka.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pengimport, pembekal dan pengedar supaya sentiasa berwaspada serta lebih peka dalam pengurusan produk dan barangan tidak halal, di semua peringkat pengendalian termasuk semasa pengimportan, penyimpanan di gudang atau tempat simpanan, pengangkutan, pengendalian dalaman serta penjualan di premis. Langkah-langkah ini bertujuan untuk memastikan produk tidak halal diasingkan sepenuhnya daripada produk halal bagi mengelakkan pencemaran silang (cross contamination) serta kekeliruan orang ramai, khususnya masyarakat Islam daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk makanan, minuman dan barangan gunaan yang tidak halal.

Di samping itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada orang ramai di atas maklumat berhubung perkara tersebut dan bagi yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syar'iah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline +6737166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

 

Foto: JHES​