Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 25 Safar 1448 bersamaan 08 Ogos 2026–Sebagai belia, antara cabaran dan ujian yang dihadapi pada masa ini ialah dari segi mendapatkan pekerjaan tetap sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta, namun kita tidak seharusnya berasa sedih, lemah dan berputus asa, kerana rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala lebih luas daripada cabaran dan ujian yang kita hadapi. Belia perlu sentiasa menjaga hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amal ibadah, berdzikir dan berdoa, sentiasa bersangka baik kepada-Nya, mengimani bahawa rezeki yang Allah berikan dalam bentuk pekerjaan bukan hanya terhad dalam sektor kerajaan dan swasta bahkan termasuk juga secara persendirian seperti keusahawanan. Selain itu, belia perlu mengenali potensi dan nilai diri kerana setiap daripada kita mempunyai potensi yang berharga, sentiasa berterusan menaik taraf diri dari masa ke semasa dengan ilmu ugama mahupun kemahiran yang boleh membantu membina diri, memberikan sumbangan secara aktif dalam bentuk tenaga dan buah fikiran dalam aktiviti kemasyarakatan, serta meneroka diri dengan membuat pekerjaan sambilan sementara menunggu pekerjaan tetap. Dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang kita perolehi, kita dapat menyumbang kepada nusa, bangsa dan negara, serta tidak mudah berputus asa kerana ada banyak tempat yang boleh kita sumbangkan sebagai belia. Sebagai belia siaga masa depan, kita juga mampu menyumbang bagi pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Di Sebalik Ujian, Ada Harapan: Belia Siaga Masa Depan yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Siti Nurul Hazwani binti Haji Mohd Yussof, Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-38 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-241 pada malam tadi dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Brunei; Ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia Masjid Senegara; Kumpulan Akhawatus Sofiyyah, Program Keugamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli Jawatankuasa Bahagian Belia dan Beliawanis Masjid Daerah Temburong serta muslimah dan jemaah Masjid di beberapa buah masjid di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Dalili Bazilah binti Haji Jailani, Ahli Jawatankuasa Kerja Tadbir Pusat Biro Kerohanian dan Keharmonian, Majlis Belia Brunei.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nur Afina binti Haji Adam, Ahli Jawatankuasa Unit Jaringan dan Kerjasama Strategik, Kumpulan Belia Masjid Senegara, Ahli Jawatankuasa Bahagian Belia dan Beliawanis Masjid Daerah Temburong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nuramalnajihah @ Zulaikha binti Hanip, Ahli Jawatankuasa Kerja Tadbir Pusat Biro Kerohanian dan Keharmonian, Majlis Belia Brunei.
Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nur Afina binti Hj Adam, Ahli Jawatankuasa Unit Jaringan dan Kerjasama Strategik Kumpulan Belia Masjid Senegara, Ahli Jawatankuasa Bahagian Belia dan Beliawanis Masjid Daerah Temburong.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Tuty Haryati Agustina binti Haji Abu Bakar, Kumpulan Akhawatus Sofiyyah, Program Keugamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
