Kiarong, Ahad, 25 Safar 1448 bersamaan 09 Ogos 2026–Bagi memperkenalkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, dakwah dan pembangunan masyarakat, di samping menggalakkan orang ramai serta pelancong mengenali keindahan seni bina dan sejarahnya, Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong pagi tadi menganjurkan Program “Mari Imarahkan Masjid" bersempena Hari Terbuka Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.
Acara julung kali diadakan itu turut diadakan sempena ulang tahun ke-32 Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah sebagai salah sebuah mercu tanda agama, warisan dan kebudayaan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Antara objektif penganjuran adalah untuk memperkenalkan sejarah serta struktur bangunan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dalam usaha mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan Islam, di samping memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan. Selain itu, ia bertujuan menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak masjid serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pelbagai pengisian disediakan sepanjang Hari Terbuka berkenaan, antaranya Program Qiyamulail, Bengkel Itqaan Al-Quran, bengkel khat dan bengkel pengurusan jenazah. Turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, lawatan berpandu ke lokasi-lokasi utama masjid, tayangan video mengenai sejarah dan aktiviti masjid serta pameran yang disertai oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta.
Inisiatif tersebut turut memberi peluang kepada masyarakat dan para pelancong untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi serta peranan masjid sebagai sebuah institusi yang menyumbang kepada pembangunan ummah, selain menampilkan keindahan dan nilai-nilai ajaran Islam.
Diharapkan penganjuran acara seumpama ini dapat menjadi platform yang berkesan dalam mengimarahkan masjid, memupuk rasa cinta terhadap rumah Allah dan memperkukuh hubungan masyarakat dengan institusi masjid. Pada masa yang sama, usaha tersebut diharap dapat mengetengahkan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong sebagai salah sebuah destinasi pelancongan Islam yang unggul di Negara Brunei Darussalam.