Bandar Seri Begawan, Isnin, 26 Safar 1448 bersamaan 10 Ogos 2026–Dalam usaha menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Sekolah Umum (Pendidikan Islam), Jabatan Pengajian Islam, pagi tadi menganjurkan Program Kembara Ilmu: Bilal dan Imam Cilik bagi Tahun 1448H/2026M.
Program Kembara Ilmu ini merupakan salah satu usaha untuk memperkukuh Program Bilal dan Imam Cilik di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta yang mula diperkenalkan pada tahun 2025. Program ini memberi peluang kepada murid untuk belajar dan mendapatkan pengalaman secara langsung di masjid, di samping meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan mereka dalam menjalankan tugas sebagai bilal dan imam.
Sehubungan dengan itu, seramai 62 orang murid Tahun 3, 4 dan 5 daripada 17 buah sekolah rendah kerajaan dan 10 buah sekolah rendah swasta yang terpilih di seluruh negara menyertai program berkenaan. Program tersebut berlangsung semasa Cuti Penggal Persekolahan Ketiga di Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai fungsi masjid serta peranan imam dan bilal, meningkatkan kemahiran dalam melaungkan azan dan memimpin sembahyang berjemaah, serta memupuk nilai kepimpinan dan kecintaan terhadap masjid sejak usia muda dalam menghayati dan mengamalkan syiar Islam.
Sepanjang program berkenaan, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang untuk memberikan pengalaman dan pengetahuan berkaitan peranan imam dan bilal.
Aktiviti tersebut merangkumi penerangan mengenai tujuan program, aktiviti Brisk Walk, lawatan di sekitar masjid, sesi bimbingan bersama imam dan bilal serta latihan dan tunjuk cara melaungkan azan dan memimpin sembahyang berjemaah.
Program ini diharap dapat menjadi pengalaman awal yang bermakna kepada para peserta dalam mengenali dan memahami tanggungjawab sebagai imam dan bilal. Pengalaman tersebut seterusnya dapat menjadi asas kepada murid untuk terus mengembangkan kemahiran yang dipelajari serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian dan di sekolah masing-masing.