Kampong Junjongan, Jumaat, 01 Rabiulawal 1448 bersamaan 14 Ogos 2026–Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, Mukim Pengkalan Batu, Daerah Brunei dan Muara, telah mengadakan Program Pejuang Fajr Kali Ke-20 di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan awal pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada program tersebut ialah Yang Mulia Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program tersebut merupakan salah satu usaha Badan Sukarelawan Belia Da’ie dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan belia yang aktif dalam bidang da’wah dan Al-Amr Bil Ma’ruf Wa An-Nahyu ‘Anil Munkar di Negara Brunei Darussalam, khususnya melalui kempen Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah.
Selain itu, program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mahabbah, iaitu rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui pemantapan iman, doa, ibadah dan amal soleh, di samping memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.
Program ini bertujuan memupuk semangat Tazkiyatun Nafs, iaitu usaha mensucikan jiwa, khususnya dalam menyambut bulan Rabiulawal yang merupakan bulan yang istimewa bersempena dengan keputeraan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian yang bermanfaat.
Program Pejuang Fajr Kali Ke-20 dimulakan dengan Qiyamullail, iaitu Sembahyang Sunat Tahajjud yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da’ie. Acara kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan. Diikuti dengan bacaan selawat beramai-ramai dan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da’ie.
Seterusnya, Tazkirah Subuh bertemakan Cinta Nabi: Upgrade Hati disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.
Dalam tazkirah tersebut, Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin antara lain menekankan kepentingan Tazkiyatun Nafs dalam membentuk peribadi Muslim yang lebih baik, khususnya dalam menghayati bulan Rabiulawal. Para peserta turut diseru agar sentiasa berakhlak mulia, berusaha memperbaiki kelemahan diri, melakukan muhasabah, mengamalkan sifat husnuzon serta mempunyai wawasan yang luas dalam kehidupan, di samping meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Acara program ini diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 100 orang, yang terdiri daripada jemaah Masjid As-Salaam, pegawai-pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia termasuk mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, dan Ahli Jawatankuasa Belia Da’ie serta orang awam.
Penganjuran Program Pejuang Fajr diharap akan dapat terus menjadi wadah dalam menggalakkan masyarakat, khususnya golongan belia, untuk mengimarahkan masjid, memperkukuh hubungan silaturahim serta meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Islam dan kecintaan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Rakaman program berkenaan juga boleh diikuti melalui laman Instagram rasmi Belia Da’ie, @BeliaDaie.






Foto: PDI