Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL BENGKEL KEUSAHAWANAN BELIA ISLAM MABIMS TAHUN 2026

20 August 2026

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL BENGKEL KEUSAHAWANAN BELIA ISLAM MABIMS TAHUN 2026

Anggerek Desa, Khamis, 08 Rabiulawal 1448 bersamaan 20 Ogos 2026–Seramai 30 orang peserta Bengkel Keusahawanan Belia Islam MABIMS Tahun 2026 menerima sijil masing-masing pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang diadakan di Cesar Hall, Mulia Hotel, Anggerek Desa pada malam tadi. 

Majlis diungkayahkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Brunei Economic Development Board (BEDB). Bengkel yang berlangsung selama 4 hari, bermula dari 17 Ogos dan berakhir pada 20 Ogos 2026 disertai oleh seramai 26 orang belia dari Negara Brunei Darussalam, 2 orang belia dari Republik Indonesia dan 2 orang belia dari Malaysia.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Ketua Senior Officer Meeting (SOM) MABIMS Negara Brunei Darussalam. Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Negara Brunei Darussalam melaksanakan program di bawah Fokus Strategik ‘Potensi Belia’, sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Strategik MABIMS 2026–2030. Fokus Strategik ini antara lain memberi penekanan kepada usaha meningkatkan dan memperkasakan belia yang berpengetahuan dan berpendidikan dalam agama, di samping mewujudkan jaringan antarabangsa dalam kalangan belia MABIMS.

Sehubungan dengan itu, bengkel ini menjadi platform untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai asas dan kemahiran keusahawanan, di samping membuka ruang kepada mereka untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan perspektif dalam bidang keusahawanan bersama peserta dari negara-negara anggota MABIMS.

Antara objektif Bengkel Keusahawanan Belia Islam MABIMS Tahun 2026 adalah untuk meningkatkan dan memperkasakan belia yang berpengetahuan dan berpendidikan dalam agama, serta mewujudkan jaringan antarabangsa dalam kalangan belia MABIMS. Bengkel ini turut menyediakan ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan, di samping membina hubungan serta jaringan bersama belia dari negara-negara MABIMS.

Sepanjang bengkel, para peserta mengikuti pelbagai sesi dan aktiviti berkaitan keusahawanan, termasuk Business Pitching Challenge yang memberi peluang kepada para peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui pembangunan serta pembentangan idea perniagaan secara berkumpulan. Para peserta juga berpeluang mendapatkan pendedahan melalui lawatan ke beberapa perusahaan tempatan, antaranya Dapur Legenda, Skinnymeal dan Bruneian Made Hub.

Bengkel ini turut mendapat tajaan daripada AEWON Brunei, serta sokongan dan kerjasama daripada Grominda Sdn Bhd, Dapur Legenda, Skinnymeal dan Bruneian Made Hub dalam menjayakan pelaksanaan program. Penghargaan turut diberikan kepada para fasilitator, penaja dan rakan strategik atas sokongan, kerjasama serta sumbangan yang diberikan dalam menjayakan Bengkel Keusahawanan Belia Islam MABIMS Tahun 2026.


https://www.kheu.gov.bn/SiteImages/BPAAM%202026/020.8.2026%20MAJLIS%20PENUTUP%20PROGRAM%20BELIA%20MABIMS%209.JPG 

Foto: BPAAM