Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA  AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI MAJLIS KESEJAHTERAAN ORANG KELAINAN UPAYA (MKOKU)

22 August 2026

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI MAJLIS KESEJAHTERAAN ORANG KELAINAN UPAYA (MKOKU)

Berakas, Sabtu, 09 Rabiulawal 1448 bersamaan 22 Ogos 2026–Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama pada petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU).  Kunjungan hormat diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis. 

Rombongan daripada Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Hamzi bin Omar [OKU Penglihatan], Yang Di-Pertua MKOKU dan Yang Di-Pertua Persatuan Brunei Darussalam National Association for the Blind (BDNAB).

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara MKOKU dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memastikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut mendapat akses yang saksama kepada kemudahan, perkhidmatan dan aktiviti keugamaan. Ianya juga sebagai platform untuk MKOKU mengongsikan aspirasi golongan OKU agar terus diberi perhatian dalam perancangan serta penyampaian perkhidmatan ugama, demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif, prihatin dan sejahtera.

Hadir sama di majlis kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid; Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; dan para pegawai kanan yang berkenaan.

Terdahulu, Kementerian ini telah mengadakan sesi dialog dengan Ahli Jawatankuasa Tertinggi MKOKU yang dipengerusikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama bertempat di Bilik Mawar, Tingkat 4, Bangunan Darul Hikmah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Juga hadir dalam sesi perjumpaan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Dalam sesi perjumpaan tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan bersama antara Ahli Jawatankuasa Tertinggi MKOKU dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama, khususnya mengenai isu aksesibiliti dan kemudahan bagi golongan Orang Kelainan Upaya di masjid-masjid serta institusi-institusi pendidikan. Perbincangan turut menyentuh mengenai cadangan untuk memberikan latihan kepada golongan OKU Penglihatan yang berpotensi dalam bidang hafazan Al-Quran, serta penyampaian teks Khutbah Jumaat mengikut keperluan golongan OKU Pendengaran.

Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) merupakan sebuah pertubuhan atau badan bukan kerajaan yang didaftarkan secara rasmi pada 21 Mei 2016 menurut Ceraian (3), Bab 8, Akta Pertubuhan, Penggal 203. MKOKU merupakan sebuah badan induk dan satu-satunya suara rasmi bukan kerajaan bagi persatuan-persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU). MKOKU berwawasan untuk membangunkan sebuah masyarakat yang inklusif, di mana hak, keistimewaan dan kesejahteraan golongan Orang Kelainan Upaya diiktiraf, diterima, dimajukan dan dipertahankan secara saksama serta dipelihara dengan adil.

Persatuan-Persatuan Orang Kelainan Upaya yang bergabung di bawah payung Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) adalah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam; Society for the Management of Autism Related Issues in Training,    Education and Resources (SMARTER) Brunei; Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA); Special Olyampic Brunei Darussalam (SOBD); Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP); Persatuan Sindrom Down (ABLE); Brunei Darussalam National Association for the Blind (BDNAB); Persatuan Paraplegic and Physically Disable Association (PAPDA); dan Learning Ladders Society (LLS).


Foto: BPAAM