Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA TAHUN 1448 HIJRAH

25 August 2026

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA TAHUN 1448 HIJRAH

Bandar Seri Begawan, Selasa, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 25 Ogos 2026–Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah di ibu negara pagi tadi.

Berangkat sama ke Majlis tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri;  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri;  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri;  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qu’ran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah;   Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II;  Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang);  Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran); Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah; serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Pengendali-Pengendali Bersama dan Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qu’ran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah;  

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama antara lain menyembahkan bahawa Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam ini selain untuk memperingati kelahiran junjungan besar kita Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam, ia juga menjadi wadah memperbaharui kesedaran umat terhadap teras risalah Baginda, iaitu menegakkan tauhid, membimbing manusia kepada aqidah yang benar dan menyeru mereka supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.   Pada tahun ini, tema Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam Suluh Aqidah dipilih, bagi mengajak kita untuk terus menghayati bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam ialah suluh petunjuk yang membawa manusia keluar daripada kegelapan kesesatan menuju cahaya hidayah Allah.

Di Negara Brunei Darussalam, pendekatan da'wah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam terus dijadikan panduan utama dalam pembinaan umat dan negara.  Usaha da’wah bukan sahaja menyampaikan ajaran Islam, malah menerangi kefahaman, memperteguh aqidah dan membimbing masyarakat agar berpegang teguh kepada al-Qur'an dan as-Sunnah menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Yang Berhormat menambah Selaras dengan visi Kementerian Hal Ehwal Ugama Memperkasa Perkhidmatan Ugama Yang Berkualiti Dan Berinovatif, usaha memperkukuh pendidikan ugama dan da’wah digerakkan secara berterusan. Program Keagamaan Senegara, misalnya, melibatkan murid dan guru sekolah ugama dan Arab di seluruh negara melalui penghayatan al-Quran, selawat, tahlil, zikir dan Hari-Hari Kebesaran Islam. Pelaksanaanya akan terus diperkukuh dan dipantau agar tidak berakhir sebagai acara semata-mata, tetapi benar-benar membentuk kefahaman, amalan dan akhlak.  Di samping itu, golongan belia terus dibimbing dan diberikan ruang untuk turut menggerakkan kegiatan masjid dan da’wah.  Programprogram seperti Masjid Tour, Mari Imarahkan Masjid dan ‘Ilm Series merupakan antara wadah da’wah, pengimarahan masjid dan pembangunan belia yang membina generasi berilmu, berakhlak dan bersedia memikul amanah. Dalam masa yang sama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, terus memperluas pemahaman masyarakat mengenai pegangan Ahli Sunnah Waljama’ah.  Kuliah bulanan dan nadwah dilaksanakan untuk warga Perkhidmatan Awam, institusi pendidikan, institusi masjid dan masyarakat umum. Ini termasuk melalui wadah ilmiah seperti Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa (SAKAPES). 

Kesemua usaha ini adalah komitmen kementerian untuk terus memperkasa perkhidmatan ugama, membentuk kefahaman yang benar, aqidah yang teguh dan akhlak yang nyata dalam kehidupan, selaras dengan hasrat negara yang meletakkan Islam sebagai teras pembangunan.

Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh gabungan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; serta Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei.  Sebaik sahaja sampai kepada ‘Ya Habibi’ tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Sebelum perarakan bermula, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie mengepalai bacaan selawat yang menandakan perarakan akan dimulakan.

Pada tahun ini, seramai 5,435 orang peserta mengikuti perarakan, melibatkan 102 pasukan yang dibahagikan kepada 5 kategori iaitu Pasukan Utama; Kategori Kementerian-Kementerian;  Kategori Institusi Pengajian Tinggi/ Maktab/ Sekolah Arab/ Sekolah Menengah Swasta;  Kategori Kampung dan Masjid; dan Kategori Persatuan dan Sektor Swasta.

Perhimpunan dan Perarakan ini turut diadakan secara serentak di 3 daerah lain. Bagi Daerah Belait ialah Padang Bandaran, Kuala Belait.  Manakala Daerah Tutong di Kawasan Lapang Kompleks Dewan Kemasyarakatan. Dan Daerah Temburong di Kawasan Letak Kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar.

Tema bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah ialah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah.


Foto: PDI