Temburong, Selasa, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 25 Ogos 2026-Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Temburong Bagi Tahun 1448H/2026M turut diadakan pada pagi tadi bertempat di Kawasan Letak Kereta Dewan Belalong Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Daerah Temburong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
Turut hadir, Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Majlis turut disertai oleh penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jemputan-jemputan khas, ahli jawatankuasa kerja, takmir dan jemaah masjid dan pasukan-pasukan perarakan seramai 1215 orang.
Tujuan majlis diadakan adalah untuk memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta meningkatkan kecintaan terhadap Baginda. Di samping memeriahkan suasana dengan perarakan yang penuh berkat, ia juga bertujuan untuk memakmurkan jalan-jalan di sekitar kawasan dan menghidupkan Syiar Islam. Perarakan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara umat Islam, dengan para peserta dari seluruh lapisan masyarakat, jemaah masjid, dan penduduk kampung di Daerah Temburong.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Mohd Rizq Syauqi bin Abdullah, Pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja Tahun 2, Sekolah Ugama Senukoh, Daerah Temburong Majlis diteruskan dengan tazkirah khas oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis diteruskan lagi dengan Persembahan ‘Dikir Marhaban’ dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Piasau-Piasau Daerah Temburong. Bacaan Doa Selamat dan laungan Selawat sebanyak 3 kali dipimpin oleh Yang Mulia Awang Syahmi bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar Daerah Temburong Majlis kemudian diteruskan dengan Perarakan yang didahului oleh Tetamu Kehormat.
Majlis yang penuh kerahmatan ini diharap dapat memperolehi syafaat Nabi Muhammad Shallallahu ’Alaihi Wasallam pada hari Kiamat kelak selain menjadi wadah memperkukuh ukhuwah Islamiah dalam kalangan masyarakat setempat.