Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

CERAMAH PERDANA SAMBUTAN JUBLI INTAN MASJID HASSANAL BOLKIAH PEKAN TUTONG

28 August 2026

CERAMAH PERDANA SAMBUTAN JUBLI INTAN MASJID HASSANAL BOLKIAH PEKAN TUTONG

Tutong, Ahad, 16 Rabiulawal 1448 bersamaan 28 Ogos 2026-Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong malam tadi telah mengadakan Ceramah Perdana sempena Sambutan Jubli Intan ke-60 Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Ceramah yang bertajuk Mari Mengimarahkan Masjid disampaikan oleh penceramah undangan dari Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd. Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor, Universiti Islam Selangor. 

Antara perkara yang ditekankan dalam ceramah berkenaan ialah peranan masjid yang bukan hanya sebagai tempat beribadah, malah berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah, penyuburan ilmu serta pembentukan generasi yang dekat dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Sahibol Omar bin Haji Yussof, Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong. Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan dan Tetamu Kehormat. 

Terdahulu, bagi memohon keberkatan dan kelancaran Sambutan Jubli Intan ke-60 Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Majlis Sembahyang Hajat dan Doa telah diadakan pada Rabu, 26 Ogos 2026, selepas Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. 

Pelbagai aktiviti dan program majlis ilmu, antaranya Forum Belia, Kempen Menderma Darah, tazkirah dan pelbagai aktiviti lain telah dirancang dan disusun sepanjang tahun ini sebagai usaha untuk mengimarahkan masjid, di samping meraikan Sambutan Jubli Intan ke-60 Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong. 

Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong telah dirasmikan pada 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang pada ketika itu bergelar Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah. 

Sebagai masjid utama di Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong bukan sahaja dihasratkan sebagai tempat beribadah, malah turut dimanfaatkan bagi pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan memperkukuh hubungan dalam kalangan penduduk dan masyarakat setempat. Masjid berkenaan juga menjadi tumpuan bagi pelbagai acara keraian serta sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.

 

Foto: JHEM