Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-244

29 September 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-244

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 17 Rabiulawal 1448 bersamaan 29 Ogos 2026Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW merupakan antara tanda kecintaan kita kepada Baginda. Antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW ialah berusaha menghidupkan sunnah Baginda dalam kehidupan, bukan hanya di masjid atau dalam majlis ilmu, tetapi bermula dari rumah. Dalam erti ini, rumah dijadikan sebagai tempat kita mengamalkan ajaran dan akhlak Rasulullah SAW, khususnya dalam cara kita berinteraksi dengan ahli keluarga. Islam mengajar kita bahawa berbuat baik tidak semestinya memerlukan harta yang banyak, tapi kita mampu membantu seseorang melalui kata-kata yang baik, senyuman, dorongan, nasihat yang lembut dan doa. Antara bentuk kebaikan kepada keluarga ialah memenuhi keperluan mereka. Memberi nafkah kepada keluarga bukan sekadar kewajipan, tetapi boleh menjadi ibadah dan sumber pahala apabila dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Islam turut memberikan perhatian yang besar terhadap kebajikan anak yatim dan ada ganjaran besar bagi mereka yang mengambil berat terhadap anak yatim, lebih-lebih lagi jika anak yatim itu merupakan sebahagian daripada kaum kerabat sendiri. Akhlak Rasulullah SAW bermula dalam keluarga. Di antara sunnah yang perlu kita hidupkan di rumah adalah bercakap dengan lembut ketika marah, memaafkan kesalahan pasangan, menghargai pengorbanan ibu bapa, mendidik anak dengan kasih sayang, menghubungi adik-beradik, dan membantu kaum kerabat yang memerlukan. Ahli keluarga hendaklah saling mengingatkan dan menasihati dalam perkara kebaikan, dan tidak dilupakan kekuatan doa. Ingatlah, tiada kebaikan yang terlalu kecil di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Menghidupkan Sunnah Rasulullah ﷺ Bermula di Rumah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Mu'iid bin Hariel, Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syari’ah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-244 pada malam tadi. 

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para belia Mukim Serasa; belia dan jemaah dari Masjid Kampung Kapok; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Saiful Adli bin Ali Hassan, Penghulu Mukim Serasa, Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara yang bersiaran dari Masjid Kampung Kapok.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nur Syazwan bin Haji Aminuddin, Belia Mukim Serasa, Daerah Brunei dan Muara. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Zurkarnain bin Haji Ibrahim, Pemangku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Daerah Brunei dan Muara. 

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Shahminan bin Haji Abd Rahman, Ketua Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Raffi bin Duming, Imam Tingkat 1, Masjid Kampung Kapok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.