Jerudong, Khamis, 21 Rabiulawal 1448 bersamaan 03 September 2026-Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah. Majlis berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong pada pagi tadi.
Berangkat sama, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa`adul Khairi Waddien.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qu’ran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Awang Haji Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pemangku Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Penasihat-Penasihat Bersama dan Ahli Jawatankuasa Kerja yang lain.
Sejurus itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta Kerabat Diraja diiringi masuk oleh Penasihat-Penasihat Bersama; dan Pengerusi-Pengerusi Bersama daripada Pengendali-Pengendali Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah terdiri daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei; dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nurhaneyah binti Nordin, Pemenang Tempat Ketiga Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M, sementara Tadabbur oleh Yang Mulia Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd Yussof, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Diikuti dengan Sembah Alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1448 Hijrah.
Dalam Sembah Alu-Aluan, Pengerusi Bersama Majlis menyembahkan bahawa Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara pada tahun ini adalah kali yang ke-33 sejak ia mula diadakan pada tahun 1416 Hijrah bersamaan tahun 1995 Masihi. Setiap tahun Majlis ini dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan dikendalikan bersama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta. Pada tahun ini, pengendali bersama bagi Majlis ini ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.
Beliau menambah Tema Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini ialah: RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM SULUH AQIDAH. Aqidah yang lurus hendaklah dibina dan dipandu berlandaskan wahyu Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukan semata-mata berasaskan pendapat, adat kebiasaan atau sangkaan manusia. Wahyu menjadi panduan kebenaran yang membimbing manusia agar tidak tersasar daripada jalan yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sesungguhnya hidayah merupakan anugerah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas mencari kebenaran, berusaha mendekatkan diri kepada-Nya serta bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran yang telah disyariatkan-Nya.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Dikir Marhaban daripada gabungan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei; dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.
Majlis diserikan dengan Ceramah Khas oleh Yang Mulia Ustazah Asma binti Harun, Penceramah undangan daripada Malaysia.
Seterusnya bacaan Selawat oleh pelajar-pelajar Skim Tilawah Al-Quran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman berserta Kerabat Diraja berangkat meninggalkan majlis.
Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei; dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.
Tema bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah ialah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah.












Foto: PDI