Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 24 Rabiulawal 1448 bersamaan 05 September 2026–Sabar ibarat suluh yang menerangi jalan ketika kita berada dalam kegelapan. Apabila kita bersabar kerana Allah, sebenarnya kita tidak pernah bersendirian. Allah mengetahui setiap langkah yang kita ambil walaupun tiada seorang pun manusia yang mengetahuinya. Ujian bukan tanda Allah membenci kerana tidak semua ujian datang untuk menghancurkan kita. Ada ujian yang datang untuk menguatkan kita atau mendekatkan kita kepada Allah. Boleh jadi itulah cara Allah mendidik kita. Sabar juga bukan bermaksud duduk diam. Sabar ialah terus melakukan perkara yang benar walaupun hati kita sedang berat. Apabila seseorang belajar bersabar, sekurang-kurangnya tiga perkara besar akan lahir dalam dirinya. Pertama, sabar melahirkan kekuatan. Kedua, sabar melahirkan kematangan. Ketiga, sabar membawa kepada kejayaan. Dahulu, seseorang yang mahu mendapatkan ilmu perlu mencari guru tetapi hari ini, ilmu berada di hujung jari. Dahulu, hiburan mempunyai batas tertentu tetapi hari ini, hiburan datang kepada kita tanpa henti. Inilah antara perjuangan generasi hari ini. Kita memerlukan sabar untuk menjaga masa, untuk menundukkan keinginan, untuk memilih perkara yang bermanfaat, dan untuk meninggalkan perkara yang melalaikan.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Kesabaran Suluh Kejayaan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abd Wahab, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-245 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para siswa Graduan Haflut Takharruj 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hassanul Jamsyir Ali bin Jais, Graduan Haflut Takharruj 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bersiaran dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh, Graduan Haflut Takharruj 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syarif Ali bin Achmad Fahri, Graduan Haflut Takharruj 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Hadif Nazhan bin Idris, Graduan Haflut Takharruj 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Solahuddin bin Bohari, Graduan Haflut Takharruj 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
