Berakas, Ahad, 24 Rabiulawal 1448 bersamaan 06 September 2026–Bagi menanam dan memupuk semangat kesukanan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat bersatu padu dan setiakawan serta menyemai nilai ukhuwwah dalam kalangan pegawai dan kakitangan Pusat Da’wah Islamiah bersama para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II (Muallaf), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf, dengan kerjasama Badan Sukan Pusat Da’wah Islamiah, mengadakan Kejohanan Futsal Enam Orang Sepasukan Skim Bimbingan Lanjutan II (Muallaf) bagi Tahun 1448H/2026M.
Kejohanan tersebut diadakan pagi tadi di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya, dengan penyertaan para peserta dari seluruh negara.
Kejohanan tersebut disertai oleh 7 pasukan, iaitu 3 pasukan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pusat Da’wah Islamiah (PDI), manakala 4 pasukan daripada para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II (Muallaf) dari keempat-empat daerah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada kejohanan berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah.
Acara kemudian diteruskan dengan Ucapan Perasmian Kejohanan Futsal 6 Orang Sepasukan Skim Bimbingan Lanjutan II (Muallaf) yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Isham bin Ismail, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah.
Kejohanan seterusnya berlangsung dengan perlawanan futsal antara pasukan yang mengambil bahagian sehingga selesai.
Pada akhir kejohanan, penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Johan disandang oleh pasukan Ibnu Batutah (PDI B); Naib Johan pula disandang oleh pasukan Ibnu Sina (PDI A), manakala Tempat Ketiga ialah pasukan Ibnu Khaldun (PDI C).
Pemain Terbaik pada Kejohanan tersebut ialah Yang Mulia Awang Muhd Haziman Adizul Iswandi bin Muhd Yazid Iskandar, pasukan Al-Khawarizmi (SBL II Brunei Muara). Veteran Terbaik pula ialah Yang Mulia Awang Alizan bin Haji Ramle, pasukan Ibnu Batutah (PDI B).
Penjaga Gawang Terbaik ialah Yang Mulia Awang Haji Zul-hilmi bin Haji Lakat, pasukan Ibnu Batutah (PDI B); Penjaring Terbanyak pula ialah Yang Mulia Awang Afi Ariffin bin Haji Abu Bakar, pasukan Ibnu Batutah (PDI B).
Kejohanan berkenaan juga merupakan salah satu aktiviti sukan bagi Skim Bimbingan Lanjutan II (Muallaf) dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat serta membentuk warga yang sihat, aktif dan dinamik.
Dengan adanya penganjuran aktiviti seperti ini, diharapkan hubungan silaturahim dan ukhuwah antara pegawai dan kakitangan Pusat Da’wah Islamiah dengan para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II (Muallaf) akan terus diperkukuhkan, di samping menyokong usaha melahirkan warga yang sihat, cergas dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.
Foto: PDI