Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MESYUARAT PERSIAPAN PENGURUSAN HAJI BAGI MUSIM HAJI 1448 HIJRAH / 2027 MASIHI

08 September 2026

MESYUARAT PERSIAPAN PENGURUSAN HAJI BAGI MUSIM HAJI 1448 HIJRAH / 2027 MASIHI

Berakas, Selasa, 26 Rabiulawal 1448 bersamaan 08 September 2026-Dalam memastikan persiapan dan pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah/2027 Masihi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, lancar dan berkesan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam bersama-sama Kementerian Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi mengadakan Mesyuarat Persiapan Pengurusan Haji bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah/2027 Masihi secara dalam talian pada petang tadi. 

Bagi pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama, mesyuarat tersebut diadakan di Bilik Musyawarah, Tingkat 4, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas.

Mewakili Kementerian Hal Ehwal Ugama pada mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi; Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku wakil Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan selaku wakil Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Riyadh, Arab Saudi; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dayang Nur Farahanah binti Haji Sarbini, Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah; Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Md Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad, Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Muhammad Zulkarnain bin Haji Brahim @ Ahmad, Pemangku Timbalan Pengarah (Kemajuan) Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri selaku wakil Yang Mulia Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Joshua Kok Hwa Law, Ketua Pegawai Komersial, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB); dan Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan perkara-perkara berkaitan kuota jemaah haji dan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (PUJH) Negara Brunei Darussalam, syarat-syarat dan keperluan haji, penerbangan haji, perkhidmatan perubatan dan kesihatan, serta Media Pelapor Haji bagi Musim Haji 1448 Hijrah/2027 Masihi.

Mesyuarat turut membincangkan isu-isu yang berbangkit daripada pengurusan Musim Haji 1447 Hijrah/2026 Masihi serta cadangan-cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi pengurusan jemaah haji pada musim akan datang.

Hasil perbincangan mesyuarat tersebut akan dibawa ke peringkat Menteri untuk perbincangan lanjut semasa Persidangan dan Pameran Haji Edisi Ke-6 (6th Edition of Hajj Conference and Exhibition) yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada bulan November 2026.


Foto: JUH