Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS ACARA KEMUNCAK SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL

16 September 2026

MAJLIS ACARA KEMUNCAK SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL

Katok, Rabu, 04 Rabiulakhir 1448 bersamaan 16 September 2026–Tujuh dekad merupakan satu tempoh yang panjang dalam perjalanan Pendidikan Ugama Formal di Negara Brunei Darussalam. Bermula dengan penubuhan sekolah-sekolah ugama pada tahun 1956, sistem berkenaan terus berkembang dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan pendidikan dan keperluan masyarakat. Sepanjang tempoh tersebut, pendidikan ugama memainkan peranan penting dalam memberikan asas pengetahuan ugama, di samping membentuk akhlak, sahsiah dan jati diri generasi muda.

Pada 16 September 1956, Sistem Pendidikan Ugama Formal mula dilaksanakan secara rasmi melalui penubuhan persekolahan ugama yang diasaskan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Penubuhan sekolah-sekolah ugama berkenaan menjadi antara titik penting dalam sejarah pendidikan negara apabila pendidikan ugama mula dilaksanakan secara lebih tersusun melalui sistem persekolahan yang teratur.

Sejak itu, sistem berkenaan terus diperkembangkan dan diperkukuh, termasuk dari segi kurikulum, sistem persekolahan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan tersebut turut memperlihatkan peranan pendidikan ugama dalam membentuk generasi yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman ugama serta mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Sehubungan dengan itu, bagi memperingati 70 tahun perjalanan Pendidikan Ugama Formal di negara ini, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada pagi tadi mengadakan Majlis Acara Kemuncak Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal yang diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.

Sambutan berkenaan mengangkat tema Tujuh Dekad Pendidikan Ugama: Evolusi, Transformasi dan Legasi, yang mengetengahkan perkembangan pendidikan ugama sepanjang tujuh dekad, usaha memperkasa sistem pendidikan serta kesinambungan warisan ilmu, nilai dan akhlak kepada generasi seterusnya.

Sepanjang sambutan, pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya Peraduan Al-Quran (Murattal) secara berkumpulan bagi tenaga pengajar di bawah Jabatan Pengajian Islam, selain kejohanan futsal, badminton, bola jaring dan tenpin boling yang melibatkan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi Acara Kemuncak pagi tadi ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis tersebut turut disertai oleh seramai 800 orang pegawai dan tenaga pengajar di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku “Tujuh Dekad Pendidikan Ugama: Evolusi, Transformasi dan Legasi", diikuti dengan tayangan klip video Tujuh Dekad Pendidikan Ugama Formal.

Antara pengisian utama Acara Kemuncak ialah Forum Khas Bual Bicara yang membincangkan sejarah, perkembangan dan hala tuju Pendidikan Ugama Formal sepanjang tujuh dekad.

Forum berkenaan menampilkan dua ahli panel jemputan, iaitu Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Yang Mulia Dayang Hajah Mastuyah binti Abd Ghani, manakala Yang Mulia Awang Haji Mohd Jaya bin Haji Metussin selaku moderator.

Persembahan lagu tema Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, Generasi Beriman, turut memeriahkan majlis yang dipersembahkan oleh gabungan mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, pelajar-pelajar Sekolah Arab, sekolah-sekolah ugama dan Institut Tahfiz Al-Quran Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.​