Berakas, Ahad, 08 Rabiulakhir 1448 bersamaan 20 September 2026–Seramai 84 orang pelajar Negara Brunei Darussalam akan melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Azhar dan Ma'ahad Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah, Lughah Arabiyyah, Usuluddin, dan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat bagi sesi pengajian 2026/2027.
Daripada jumlah tersebut, seorang pelajar merupakan penerima skim biasiswa 'Sultan's Scholar' Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti dengan 2 orang pelajar skim biasiswa Kementerian Pertahanan, 16 orang pelajar skim biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam, dan selebihnya seramai 65 orang pelajar persendirian.
Rombongan pertama yang terdiri daripada 41 orang pelajar telah berlepas ke Republik Arab Mesir pada petang tadi dengan menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI873.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlayar kepada pelajar pelajar berkenaan ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Juga hadir ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Penolong-Penolong Pengarah dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, serta ahli keluarga pelajar-pelajar berkenaan.
Bagi memohon keselamatan dan keberkatan, Sembahyang Fardu Asar dan Sembahyang Sunat Hajat telah diadakan di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, diikuti dengan bacaan Doa Selamat sebelum perlepasan.
Rombongan kedua yang terdiri daripada 43 orang pelajar dijadualkan akan berlepas keesokkan harinya pada Hari Isnin, 21 September 2026, pukul 5:45 petang dengan menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI873.