Negara Brunei Darussalam, Khamis, 12 Rabiulakhir 1448 bersamaan 24 September 2026–
“Guru berperanan penting sebagai peneraju perubahan yang membawa pendidikan ke arah kelestarian dan pembaharuan, selaras dengan hasrat Wawasan Brunei 2035, khususnya matlamat melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Kemuliaan tugas seorang guru ditekankan berdasarkan tuntutan Al-Quran dan Hadith, yang meletakkan kedudukan istimewa bagi golongan berilmu dan yang mengamalkannya. Matlamat sebenar pendidikan dijelaskan bukan sekadar untuk memenuhi minda pelajar dengan ilmu, tetapi turut membentuk akhlak dan sahsiah supaya lahir insan yang bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan agama. Peranan guru sebagai pencetus impak berganda di mana kesan didikan seorang guru tidak terhenti pada seorang pelajar semata-mata, tetapi berterusan merentasi generasi. Kepentingan mempertahankan nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan sikap saling menghormati turut ditekankan walaupun zaman dan cabaran semasa terus berubah, dengan kaitannya kepada objektif Maqasid Syariah dalam memelihara kemaslahatan ummah.
Keperluan guru untuk terus relevan dengan inovasi dan teknologi digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan secara beretika, tanpa menggugurkan sentuhan insani (‘hi-touch’) yang menjadi teras profesion keguruan. Secara keseluruhannya, peranan guru kekal relevan dan tidak boleh digantikan walau sepantas mana perubahan zaman, malah menjadi semakin penting dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.’’
Perkara tersebut antara yang dijelaskan di dalam Tazkirah bertajuk “Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi” disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Md Syahiran bin Haji Md Sofian, Penolong Ra’es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Surau Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Munajat Khas Hari Guru anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-248 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026.
Antara yang menyertai acara Munajat pada petang tadi ialah Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, Menteri Pendidikan dari Dewan Utama Kementerian Pendidikan. Turut serta, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan; Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan; para pegawai, seluruh warga kerja dan pendidik, serta mahasiswa mahasiswi, dan para pelajar institusi-institusi pengajian di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama. Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai- ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dr. Awang Haji Hambali bin Awang Haji Jaili, Dekan Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dari Surau As-Syafi’i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Surau Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Diikuti dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla Institut berkenaan.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sesi 2026/2027 bersama Mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama
Seri Begawan bersiaran dari Surau Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dr. Haji Azme bin Haji Matali, Dekan Fakulti Syariah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dari Surau As-Syafi'i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.