Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM TALIAN KASIH: MASJID-MASJID SERANTAU

29 September 2026

PROGRAM TALIAN KASIH: MASJID-MASJID SERANTAU

​

Kiarong, Selasa, 17 Rabiulakhir 1448 bersamaan 29 September 2026–Dalam memperluaskan jaringan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara masjid di dalam dan luar negara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah telah menganjurkan Program Talian Kasih: Masjid-Masjid Serantau. Program tersebut telah diadakan pada pagi tadi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan antara masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam dan Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Program ini dilaksanakan secara dalam talian pada setiap bulan bersempena dengan hari-hari kebesaran Islam dan negara, dengan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa Takmir, pegawai-pegawai masjid, Muslimah serta belia masjid.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Muktamar Masjid-Masjid Serantau yang diadakan di Kuching, Sarawak, yang menekankan konsep Mosque Strategic and Smart Networking Centre. Ia menjadi wadah ilmiah dalam menjalinkan rangkaian persahabatan, perkongsian idea, ilmu pengetahuan dan program, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan Islam.

Turut hadir pada program tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohd. Aliyani bin Ismail, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan serta pengenalan Bahagian Imarah oleh Ketua Bahagian. Majlis turut memperkenalkan masjid terpilih iaitu Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia.

Objektif utama program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara masjid-masjid senusantara, membuka peluang kerjasama projek dan usaha masa depan, serta berkongsi maklumat dan ilmu secara berkala.

Semoga dengan terlaksananya program ini, hubungan jalinan silaturahim antara masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam dengan masjid-masjid serantau akan semakin erat, sekaligus menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebudayaan dan pembangunan sahsiah umat Islam.​