Beribi, 22 Rabiulakhir 1448 bersamaan 04 Oktober 2026–Guru merupakan insan yang banyak mencurahkan jasa, bakti dan pengorbanan dalam mendidik serta membimbing generasi demi memastikan mereka memiliki ilmu pengetahuan, sahsiah dan nilai-nilai murni yang kukuh. Pengorbanan serta dedikasi para guru dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sewajarnya sentiasa dikenang dan dihargai.
Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Ke-36 Tahun 2026, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru bagi Pegawai-Pegawai dan Guru-Guru Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IV, bertempat di salah sebuah hotel di Kampung Beribi pada petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Muizzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis turut dimeriahkan dengan tayangan video khas sempena Sambutan Hari Guru, persembahan daripada Guru-Guru Perempuan dan Guru-Guru Lelaki, serta penyampaian Anugerah Sempena Hari Guru oleh Tetamu Khas Majlis. Acara turut diserikan dengan Pertandingan Kahoot dan Cabutan Nama Bertuah.
Program ini diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan jasa bakti para guru, di samping meningkatkan semangat serta motivasi dalam kalangan guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan memperkukuh hubungan silaturahim sesama warga sekolah.







Foto: JPI