Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 29 Rabiulakhir 1448 bersamaan 10 Oktober 2026–Belia bukan sahaja pemimpin di masa hadapan, tetapi belia juga adalah pemimpin di masa kini. Di dalam Al-Quran ada menyebutkan tentang kisah Ashabul Kahfi, di mana Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyebutkan mereka sebagai pemuda-pemuda yang beriman dan taat kepada-Nya. Di sini ada satu formula yang sangat indah iaitu mereka beriman, Allah menambahkan hidayah; mereka mempertahankan prinsip akidah mereka, Allah meneguhkan hati mereka; mereka meninggalkan kebatilan kerana Allah, Allah memberikan perlindungan. Inilah gambaran belia peneraju menurut Al-Quran. Sebab itu sebelum kita membina kemahiran seorang belia, yang mesti kita bina ialah jiwa seorang belia. Teknologi tanpa nilai boleh disalahgunakan, ilmu tanpa akhlak boleh merosakkan, kepintaran tanpa iman boleh kehilangan arah. Tetapi apabila iman, ilmu, akhlak dan kemahiran ini bergabung, maka lahirlah generasi yang mampu memimpin.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Belia Peneraju, Nadi Wawasan Negara yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Mohammad Hilmy Baihaqy bin Awang Haji Yussof, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2022 dari Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku / Katok bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-250 sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku / Katok; pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga bersiaran dari Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku / Katok.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Amirul Ariffin bin Haji Noraidi, Johan Qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026 Peringkat Akhir. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Md Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif GenQu Company (Al-Huffaz Management) dan HalalNowBN, Penerima Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia 2017 dan Anugerah Pemimpin Muda Belia 2020.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Morni bin Haji Nayan, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku / Katok.
Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku / Katok. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi, Pegawai Pelajaran, Kementerian Pendidikan, Penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia 2023.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.