Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM TERIMA  KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA  PEMANGKU MENTERI BERTANGGUNGJAWAB BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM MERANGKAP MENTERI NEGARA KANAN, KEMENTERIAN PERTAHANAN,  REPUBLIK SINGAPURA

13 October 2026

MENTERI HAL EHWAL UGAMA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA PEMANGKU MENTERI BERTANGGUNGJAWAB BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM MERANGKAP MENTERI NEGARA KANAN, KEMENTERIAN PERTAHANAN, REPUBLIK SINGAPURA

​

Bandar Seri Begawan, Selasa, 02 Jamadilawal 1448 bersamaan 13 Oktober 2026–Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei pada pagi tadi menerima Kunjungan Hormat daripada Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura yang sedang dalam rangka lawatan ke Negara Brunei Darussalam selama tiga (3) hari bermula dari 11 hingga 13 Oktober 2026. Kunjungan hormat diadakan di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei.

Semasa kunjungan hormat, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura berbincang mengenai usaha mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara, khususnya dalam perkhidmatan ugama antara Majlis Ugama Islam Singapura dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Majlis Ugama Islam Brunei.

Hadir sama di majlis kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei; Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Brunei; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan para pegawai kanan yang berkenaan.

Menyertai Tuan Yang Terutama semasa kunjungan hormat tersebut ialah Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam dan Tuan Kadir Maideen, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berserta rombongan. 

Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura. Lawatan ini bertujuan untuk mempererat serta memperkukuh hubungan dan kerjasama sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Singapura termasuk menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-bidang Kerjasama antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang diadakan pada hari yang sama.

 

​Foto: KUPUSB