Jerudong, Selasa, 02 Jamadilawal 1448 bersamaan 13 Oktober 2026–Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Indera Samudra Grand 1 dan 2, The Empire Brunei, Jerudong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengenai Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-Bidang Kerjasama tersebut telah ditandatangani oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, dan Yang Mulia Tuan Kadir Maideen, Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Majlis Penandatangan MoU turut disaksikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura.
Turut hadir dalam Majlis Penandatanganan MoU tersebut ialah ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); Yang Mulia Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan berkenaan.
Penandatanganan Memorandum Persefahaman ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal seperti pertukaran piawaian peraturan-peraturan teknikal, sistem pengauditan dan spesifikasi yang berkenaan bagi pengeluaran sijil halal dan label halal. Kerjasama berkenaan turut termasuk pertukaran pengalaman, pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam bidang teknologi, sumber manusia, kemudahan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan bagi produk halal.
Memorandum Persefahaman ini seterusnya diharapkan dapat meneroka lebih banyak peluang perdagangan produk halal antara kedua-dua negara terutama bagi para pengusaha tempatan, di samping mempererat jalinan hubungan dan kerjasama yang sedia ada.





Foto: KUPUSB