Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 07 Jamadilawal 1448 bersamaan 17 Oktober 2026–Keresahan, kegelisahan, tekanan emosi dan konflik dalaman adalah sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia, dan Al-Quran membimbing manusia dalam menghadapi serta menguruskannya. Tokoh seperti Abu Zayd al-Balkhi menekankan bahawa kesihatan manusia melibatkan kesejahteraan fizikal dan psikologi yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Islam juga mengajar manusia mengurus keadaan jiwa dengan mengingati Allah, memahami keadaan nafs, dan melihat pengalaman emosi sebagai jalan untuk mengenali diri serta kembali kepada Allah. Oleh itu, apabila seseorang mengalami kebimbangan, kita jangan terus melabel Imannya lemah, sebaliknya bertanya: “Apa yang sedang berlaku dalam dirinya, dan bagaimana kita boleh membantunya?". Pada masa yang sama, muhasabah, kesabaran, solat, zikir, bacaan Al-Quran dan doa, serta penjagaan tidur, pemakanan, hubungan sosial dan bantuan professional apabila diperlukan turut penting. Kesimpulannya, kita jangan melihatnya sebagai kelemahan iman dan jangan juga melihatnya hanya sebagai masalah psikologi, kerana menjaga kesihatan jiwa juga merupakan sebahagian daripada amanah Allah kepada kita.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Pendekatan Islam dalam Meningkatkan Kesihatan dan Kesejahteraan Muslim yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Nordin bin Ajmain, Guru Ugama Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-251 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia dan jemaah dari Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; Persatuan Muallaf Daerah Brunei dan Muara; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, Penghulu Mukim Kuala Belait, Daerah Belait yang juga bersiaran dari Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Ammar Muazzam bin Haji Matusof, Pemangku Ketua Kampung Pekan Kuala Belait “A", Daerah Belait. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminnuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Abdul Azim bin Haji Abdul Adzid / Haji Abdul Majid, Imam Tingkat III, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nur Adiib bin Awang Haji Luqman, Belia Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Mohammad Khairol Norlizam bin Pengiran Haji Rosli, Pegawai Pelajaran, Guru Ugama Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
