Temburong, Sabtu, 06 Jamadilawal 1448 bersamaan 17 Oktober 2026–Dalam usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan muallaf di negara ini, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf) dengan kerjasama Cawangan Da'wah Daerah Temburong telah menyerahkan bantuan berupa sebuah enjin generator kepada seorang muallaf di Daerah Temburong, Dayang Nur Mazura Saniera binti Besar @ Mazura binti Besar.
Majlis penyerahan bantuan tersebut diadakan di kediaman penerima di Kampung Lekiun, Daerah Temburong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bantuan enjin generator tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Penyerahan bantuan ini merupakan antara inisiatif Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam membantu para muallaf yang kurang berkemampuan, khususnya bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti kehidupan mereka. Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan dan pemedulian berterusan Pusat Da'wah Islamiah terhadap kebajikan muallaf di negara ini, di samping menjadi salah satu pendekatan dakwah dalam memperlihatkan keindahan Islam melalui amalan saling membantu dan mengambil berat terhadap kesejahteraan masyarakat.
Selain bantuan enjin generator, antara bentuk bantuan lain yang disediakan kepada para muallaf termasuklah pembinaan dan pembaikan rumah, peralatan persekolahan, enjin mesin rumput, tangki dan pam air serta keperluan asas harian yang berupa makanan asasi.








Foto: PDI