Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERTANDINGAN MENCIPTA VIDEO DAKWAH 5.0 SEMPENA  SAMBUTAN HARI GURU NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

23 October 2026

PERTANDINGAN MENCIPTA VIDEO DAKWAH 5.0 SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

​

Kilanas, Jumaat, 12 Jamadilawal 1448 bersamaan 23 Oktober 2026–Dalam usaha menyemai kesedaran tentang peranan setiap individu dalam membimbing dan membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia serta berupaya menghadapi cabaran masa hadapan, Kumpulan Belia Masjid Senegara menganjurkan Pertandingan Mencipta Video Dakwah 5.0, iaitu penganjuran kali kelima, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang bertemakan Reimagining Education for a Dynamic Future.

Pertandingan pada tahun ini membawa tema Mendidik Dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif, yang menekankan kepentingan peranan setiap individu sebagai pendidik melalui bimbingan, perkongsian ilmu, nasihat dan teladan yang baik dalam membentuk generasi masa hadapan yang berilmu serta berakhlak mulia.

Selain itu, pertandingan ini turut menjadi wadah untuk mencungkil kreativiti dan bakat golongan belia serta masyarakat umum dalam menyampaikan mesej dakwah yang bermanfaat melalui penghasilan video yang kreatif dan berkesan. Pertandingan ini terbuka kepada orang ramai, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penghargaan bagi pertandingan berkenaan diadakan pada pagi tadi di Masjid Kampung Kilanas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai sebanyak BND400.00, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga turut menerima hadiah serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, usaha dan komitmen mereka dalam menghasilkan video dakwah yang bermakna.

Melalui penganjuran pertandingan ini, Kumpulan Belia Masjid Senegara berharap agar golongan belia dan masyarakat umum akan terus memanfaatkan kreativiti serta platform media sosial untuk menyebarluaskan mesej dakwah, ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni.

Usaha ini diharap dapat mendorong generasi muda untuk tampil sebagai pembimbing dan sumber inspirasi dalam membentuk masyarakat yang harmoni, berilmu, berakhlak mulia dan berinovatif, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.


 

Foto: JHEM​