Berakas, Sabtu, 13 Jamadilawal 1448 bersamaan 24 Oktober 2026–Sejak bermulanya pendidikan ugama formal pada 16 September 1956, pengajaran Al-Quran terus menjadi antara aspek penting dalam sistem pendidikan ugama di negara ini. Selain menjadi asas pengetahuan ugama, pengajaran Al-Quran turut memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak, sahsiah dan jati diri generasi muda, selaras dengan hasrat Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan generasi celik Al-Quran di bawah gagasan Negara Zikir.
Kepentingan Al-Quran dalam pendidikan ugama terus diketengahkan menerusi penganjuran Pertandingan Murattal Al-Quran Berkumpulan bagi Warga Pendidik Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, bersempena dengan Semarak Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal. Pertandingan peringkat akhir berkenaan diadakan pada pagi tadi di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.
Pertandingan ini bertujuan untuk memperkukuh penguasaan bacaan Al-Quran dalam kalangan warga pendidik, khususnya dari segi ketepatan hukum tajwid dan fasahah, di samping meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran dan pembelajaran Al-Quran. Pertandingan tersebut merupakan antara pengisian sambutan jubli berkenaan, yang turut merangkumi kejohanan futsal, bola jaring, badminton dan tenpin bowling.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang berjaya.
Peringkat saringan pertandingan berkenaan telah berlangsung pada awal Oktober lalu dengan penyertaan sebanyak 24 kumpulan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Lelaki (Berkumpulan) yang disertai 10 kumpulan dan Kategori Perempuan (Berkumpulan) yang disertai 14 kumpulan.
Daripada jumlah tersebut, enam kumpulan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir. Bagi Kategori Lelaki (Berkumpulan), kumpulan yang mara ialah Syabab An-Nur, Assoutul Mu'allim Belait dan As Syahidul Quran. Sementara itu, bagi Kategori Perempuan (Berkumpulan), kumpulan yang mara ialah Imtiyaz Qurani, An-Nuuriyah dan Huurun 'Ain.
Penganjuran pertandingan berkenaan diharap dapat memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga pendidik, memantapkan penguasaan dan mutu bacaan Al-Quran serta melahirkan pendidik ugama yang mampu menjadi teladan dalam penghayatan dan pengamalan ajaran Islam, selaras dengan tema Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, iaitu Ukhwah Kukuh, Pendidikan Teguh.
Foto: JPI