Rimba, Sabtu, 13 Jamadiawal 1448 bersamaan 24 Oktober 2026–Dalam usaha melahirkan generasi celik Al-Quran yang berkemahiran membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, di samping memupuk kecintaan terhadap pembacaan Al-Quran agar menjadi amalan dalam kehidupan seharian, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, telah mengendalikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1448H/2026M.
Musabaqah yang diadakan selama empat hari itu berakhir pada hari ini dan diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Seramai 78 peserta lelaki dan 20 peserta perempuan telah menyertai musabaqah berkenaan, manakala seramai 51 peserta telah berjaya melayakkan diri ke peringkat pertandingan seterusnya.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para peserta ialah Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Penganjuran musabaqah ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan penghayatan terhadap isi kandungan Al-Quran, mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta serta mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah Negara Zikir.
Melalui penganjuran ini, diharapkan akan dapat melahirkan qari dan qariah yang berpotensi serta berkualiti, di samping meningkatkan mutu bacaan Al-Quran. Usaha ini juga diharap dapat melahirkan individu yang mampu menjadi teladan kepada masyarakat dalam menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Pihak penganjur turut berharap agar usaha berterusan seumpama ini akan terus menyemarakkan budaya membaca dan mencintai Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.





Foto: JHEM