Berakas, Ahad, 14 Jamadilawal 1448 bersamaan 25 Oktober 2026–Empat orang peserta negara berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada malam tadi bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) Tahun 1448H / 2026M yang akan diadakan pada 26 hingga 29 Oktober 2026 di Kuching, Sarawak, Malaysia.
Dua orang peserta akan menyertai Kategori Tilawah, iaitu Yang Mulia Awang Haji Hazwan bin Haji Salim dan Yang Mulia Dayang Nurhaneyah binti Nordin.
Sementara itu, dua orang peserta lagi akan menyertai Kategori Hafazan iaitu menghafaz juzuk 1 hingga 15. Mereka ialah Yang Mulia Awang Abdul Hadi Muaiyyad bin Haji Azrol, pelajar Tahun 1, Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Yang Mulia Dayang Atiqah Munirah binti Haji Muamat, pelajar Tahun 2, Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yang Mulia Awang Abdul Hadi Muaiyyad bin Haji Azrol pernah menyertai Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2025M dalam Kategori D (1 hingga 15 juzuk). Sementara itu, Yang Mulia Dayang Atiqah Munirah binti Haji Muamat pernah memperoleh tempat ketiga dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2025M bagi Kategori C (1 hingga 4 juzuk).
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Aziman bin Haji Azman, Ketua Bahagian Kemajuan Syi'ar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Rombongan tersebut turut disertai oleh Yang Mulia Awang Haji Zunaidi bin Haji Abdul Rahman selaku Pengurus Rombongan; Yang Mulia Awang Muhammad Adlan Aziz bin Haji Yussop selaku Jurulatih Hafazan; Yang Mulia Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli selaku Jurulatih Tilawah; dan Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ismah Fatin Faridah binti Haji Rosbna selaku Pegawai Pengiring Qariah.





Foto: PB dan BKSI