Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

SEMBAHYANG SUNAT HAJAT, MEMBACA SURAH YASIN DAN CERAMAH  MOTIVASI BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH-SEKOLAH UGAMA KAWASAN  BRUNEI IV YANG AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN SIJIL SEKOLAH-SEKOLAH  RENDAH UGAMA (SSSRU) TAHUN 1448H / 2026M

31 October 2026

SEMBAHYANG SUNAT HAJAT, MEMBACA SURAH YASIN DAN CERAMAH MOTIVASI BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH-SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV YANG AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN SIJIL SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH UGAMA (SSSRU) TAHUN 1448H / 2026M

​

Kilanas, Sabtu, 20 Jamadilawal 1448 bersamaan 31 Oktober 2026–Bagi memohon inayah dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping membuat persediaan menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) pada November depan, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yasin dan Ceramah Motivasi bagi calon-calon yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama. Majlis tersebut diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.

Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis yang turut dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga murid-murid Darjah VI sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei IV itu dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan doa.

Majlis diteruskan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis berkenaan bertujuan memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar para murid dimudahkan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba serta dikurniakan kejayaan yang cemerlang.

Peperiksaan Bertulis Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama bagi murid-murid Darjah VI seluruh negara dijadualkan akan bermula pada 09 hingga 23 November ini.

 

Foto: JPI​