Meragang, Khamis, 25 Jamadilawal 1448 bersamaan 05 November 2026–Dalam usaha melahirkan generasi kanak-kanak yang berkemampuan membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, di samping memupuk amalan membaca Al-Quran secara istiqamah dalam kehidupan seharian, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen, Meragang, Daerah Brunei dan Muara, telah menganjurkan Musabaqah Membaca Al-Quran Secara Murattal Berkumpulan bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara Tahun 1448H/2026M.
Musabaqah tersebut diadakan pada pagi tadi bertempat di Masjid Az-Zakireen, Meragang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Penganjuran musabaqah ini merupakan antara inisiatif Unit Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dalam menyemai dan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan kanak-kanak yang mengikuti Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan kanak-kanak menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian yang berterusan, di samping meningkatkan penguasaan dan kemahiran mereka dalam pembacaan Al-Quran serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta.
Sebanyak 16 kumpulan telah menyertai musabaqah berkenaan, terdiri daripada sembilan (9) kumpulan lelaki dan tujuh (7) kumpulan perempuan.
Diharapkan melalui penganjuran musabaqah ini, bakat dan potensi kanak-kanak dalam pembacaan Al-Quran akan dapat dicungkil dan dikembangkan. Selain itu, usaha ini diharap dapat menyemai kecintaan yang mendalam terhadap kitab suci Al-Quran agar terus dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian. Penganjuran program seumpama ini juga dihasratkan dapat meningkatkan minat dan menggalakkan lebih ramai kanak-kanak untuk menyertai pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan di masjid, khususnya Kelas Al-Quran dan Muqaddam.



Foto: JHEM